Khamis, 7 Mac 2013

Universiti Kehidupan 187 – “Kisah Wafatnya Nabi Musa..”

Mari kita berkenalan dengan pergunungan Nebo, satu kawasan setinggi 817 meter dari paras laut.
8 Mac 2011 jam 2.30 petang, kami sampai dipergunungan Nebo ini, ia tidak jauh dari Madaba. Dari atas pergunungan ini, kami dapat melihat dengan jelas laut mati, Sungai Jordan, Jericho dan menurut pemandu pelancong, jika cuaca baik, dari sini kami dapat melihat kota Jerusalem.
Nabi Musa dapat melihat tanah yang dijanjikan padanya iaitu al-Quds yang penuh barakah dari atas pergunungan ini.
Banyak pokok-pokok zaitun ditanam di sekitar pergunungan ini, sebuah pokok yang berkat hingga Allah pernah bersumpah dengan zaitun ini…
“Demi buah Tin Dan Zaitun dan Bumi Tursina dan negeri ini (Mekah) adalah negeri yang aman” (surah at-Tin)
Di atas puncak Nebo ini, angin bertiup sangat kencang dan saya menganggarkan ia lebih 50 km sejam. Kalau main wau bulan di sini, pasti dengan tuannya akan terbang sekali..
Terdapat sebuah gereja betul-betul di tempat paling tinggi di pergunungan Nebo ini.
Menurut Kristian dan Yahudi, nabi Musa wafat di pergunungan ini tetapi tidak ada seorang pun yang tahu di mana makamnya secara tepat.
Kalau menurut al-Quran, ketika Nabi Musa a.s telah menyelamatkan kaumnya dari angkara Firaun, maka Nabi Musa membawa kaumnya menuju ke Baitul Maqdis seperti yang telah diisyaratkan oleh Allah, ketika telah sampai ke sepadan, maka kaumnya yang mengada-ada mendengar bahawa Baitul Maqdis di perintah oleh seorang raja yang jahat, maka ketika itu kaum Nabi Musa a.s meninggalkan Nabi Musa bersendirian dan inilah sejarah Bani Israel meninggalkan Nabi mereka keseorangan. Allah mencatatkan kisah ini di dalam al-Quran :-
Mereka berkata: "Wahai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasuki nya selama-lamanya, selagi mereka ada didalamnya, karena itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti disini saja". (Surah al-Maidah ayat 24)
Selepas itu, Nabi Musa memasuki negeri ini berseorangan dan tidak lagi didengar perkhabaran Nabi Musa a.s
Berbalik pada pergunungan Nebo, tidak ada seorang pun tahu di mana makam Nabi Musa, dan baginda Musa a.s inilah satu-satunya Nabi yang tidak diketahui makamnya.
Tapi apa yang menarik ialah, ketika Rasullullah saw dibawa di dalam peristiwa Isra dan Mikraj, di antara salah satu tempat yang Nabi diperlihatkan ialah makam Nabi Musa..
“Aku melihat Musa bersolat di sisi makamnya” (al-Hadis)
Mengenai Bani Israel pula, mereka kemudiannya sesat selama 40 tahun sebelum anak murid Nabi Musa iaitu Nabi Yusak a.s yang membawa mereka masuk ke dalam Baitul Maqdis.
Beginilah kisah Nabi Musa a.s, seorang Nabi berwatak pemimpin tetapi telah dibiarkan oleh kaumnya padahal Nabi Musa a.s telah bersusah payah bersama mereka berhadapan dengan Firaun, melintasi laut merah dan sebagainya.
Semoga kita tidak menjadi seperti bani Israel yang sentiasa ingkar dan mugnkar dan semoga kita  menjadi orang yang sentiasa beriman agar mentaati Allah dan Rasul dan semoga Allah terus memberi kita keselamatan di dunia dan di akhirat, amin…
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Dead Sea SPA Hotel Jordan
4 Rabiul Akhir 1432/9 Mac 2011 jam 6.15 pagi
IMG_6715
Lembah-lembah di pergunungan Nebo
IMG_6716
tanah kawasan ini, tumbuh poko-pokok zaitun yang diberkati
IMG_6722
jalan-jalan turun dari pergunungan Nebo
IMG_6726
di atas kemuncak pergunungan Nebo
IMG_6730
bersama Jemaah di lereng pergunungan Nebo
IMG_6733
di atas puncak tertinggi, terdapat gereja, tapi hari ini sedang diubah suai
IMG_6732
Dari kemuncak Nebo, sebelah kiri gambar adalah laut mati, di sebelah kanan adalah Jericho dan di seberang laut mati kami dapat melihat sungai Jordan yang mengalir dari tasik Galelee hingga ke laut mati
IMG_6735
Kenangan jemaah

0 ulasan:

Catat Ulasan